Media

Kesedaran Penjagaan Usus Perlu Dipertingkat

Dr Muhammad Radzi (tengah) pada majlis pelancaran Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019, di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Tabiat memakan makanan kurang berkhasiat dengan kerap dan gaya hidup masa kini boleh meningkatkan risiko pelbagai gangguan dan penyakit sistem penghadaman. Pengerusi Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata tabiat itu juga boleh mendatangkan kesan kepada penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung dan hipertensi kerana kebanyakan penyakit bermula daripada usus yang tidak dijaga. “Barah usus adalah penyakit kedua paling biasa yang menyerang masyarakat kita, paling biasa menyerang lelaki dan kedua untuk wanita. Oleh itu kesihatan penghadaman ini tidak seharusnya diambil ringan dan jangan terlalu obses dengan makanan hingga boleh memudaratkan kesihatan anda. Setiap hari kita makan, sering dengan itu langkah pencegahan juga perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi DHM yang juga Pakar Gastroenterologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Raja Affendi Raja Ali dan Pengurus Besar Vitagen, Poh Eng Lip. Sementara itu, Dr Raja Affendi berkata kesedaran mengenai status penghadaman kurang diberi perhatian oleh masyarakat selain jarang melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap. Katanya, kebanyakan mereka menganggap ia hanya sakit biasa sehingga disahkan oleh doktor bahawa mereka menghidap barah usus di peringkat akhir. “Data daripada Kanser Registri Kebangsaan menunjukkan, majoriti pesakit hanya tahu mereka berada pada peringkat akhir dan ketika itu pilihan rawatan adalah terhad dan peluang sembuh berkurangan. Sebab itulah DHM memperjuangkan pengesanan awal kerana ia meningkatkan peluang untuk sembuh apabila barah dikesan dari awal,” katanya.

Eng Lip berkata, sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019 pada 29 Mei ini, Vitagen mengambil inisiatif melancarkan kempen Menjaga Sistem Penghadaman Anda dengan Probiotik dan Pengesanan Awal. Beliau berkata, menerusi kempen itu, Vitagen akan melakukan siri jelajah ke seluruh negara dan mengedarkan kira-kira 10,000 kit ujian darah dalam najis kepada orang ramai. “Kit itu berfungsi untuk menguji kehadiran darah dalam najis iaitu antara kemungkinan gejala barah usus yang boleh berlaku dalam tubuh tanpa disedari. Vitagen juga akan menyumbang kira-kira RM20,000 kepada DHM bagi membantu pesakit terpilih dan menyediakan taklimat terpilih untuk mendidik tabiat menjaga kesihatan usus dari kecil,” katanya.

"Kesihatan penghadaman ini tidak seharusnya diambil ringan dan jangan terlalu obses dengan makanan hingga boleh memudaratkan kesihatan anda." — Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Pengerusi Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia

SHARE

Order Now

Get your favourite probiotic beverage delivered right at your doorstep.