Media
Langkah Proaktif Jaga Usus
Tabiat makan sesuka hati tanpa kawalan, senaman boleh cetus masalah penghadaman
Selasa, 2 Julai 2019
By Siti Nadirah Hafidzin
[email protected]

Umum mengetahui gaya hidup moden yang tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan hidup. Namun, pernahkah terfikir bagaimana gaya hidup itu memberi kesan kepada sistem penghadaman anda? Sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia (WDHD) 2019, setiap individu tanpa mengira usia perlu lebih peka dalam mengetahui kepentingan menjaga usus dengan baik. Walaupun sudah didedahkan berulang kali, masih ramai yang berada di takuk lama dengan makan sesuka hati tanpa kawalan selain langsung tidak bersenam yang akhirnya membawa kesan buruk lagi serius kepada usus. Mungkin pada awalnya ramai yang tidak sedar sehinggalah mula mengalami masalah penghadaman.
Terbaru, pada sambutan WDHD 2019 yang diadakan di WORQ KL Gateway, Bangsar South, Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) dan Program Penghadaman Sihat Vitagen (VHDP) berganding sekali lagi bagi mendidik dan memperkasa rakyat Malaysia dalam menjaga kesihatan penghadaman. Ketika acara itu, DHM dan VHDP turut melancarkan kempen Menjaga Sistem Penghadaman Anda dengan Probiotik & Pengesanan Awal sempena WDHD 2019. Pengerusi DHM, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sepatutnya sudah lama masyarakat kita mengambil langkah proaktif untuk menjaga usus kerana ia bukanlah suatu penemuan penyakit baru namun masih terlalu ramai yang bersikap sambil lewa dengan perkara ini.
"Masalah kesihatan penghadaman yang paling umum ialah tabiat memakan makanan tidak sihat dengan kerap. Ini termasuklah makanan lazat yang menjadi kegemaran ramai seperti nasi lemak, pisang goreng, ayam goreng dan char kuetiau. Tidak dilupakan, tabiat makan secara berlebihan terutama di bufet atas alasan sudah bayar harga yang mahal. Ditambah pula dengan gaya hidup seharian yang tidak seimbang, gabungan semua faktor ini secara tidak langsung boleh meningkatkan risiko pelbagai gangguan dan penyakit kepada sistem penghadaman antaranya radang usus dan banyak lagi penyakit tidak berjangkit seperti jantung dan hipertensi," katanya yang menegaskan bahawa kesihatan penghadaman tidak harus dipandang ringan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DHM yang juga pakar perunding Gastroenterologi, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali berkata, rakyat Malaysia masih tidak sedar status kesihatan penghadaman kerana tidak melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. "Lebih membimbangkan, masih ramai beranggapan gangguan penghadaman sebagai sakit perut biasa atau hanya 'sesuatu yang saya makan'. Data daripada Kanser Registri Kebangsaan menunjukkan majoriti pesakit hanya mendapat tahu mereka menghidap kanser kolorektal apabila sudah berada di peringkat akhir. Sebab inilah kami memperjuangkan pengesanan awal kerana ia meningkatkan peluang untuk sembuh apabila kanser dikesan dari awal," katanya.
Atas semua sebab itu dan sebagai usaha untuk menyumbang kepada komuniti, Vitagen turut menyebarkan mesej untuk menjaga usus melalui Program Penghadaman Sihat Vitagen (VHDP). Pengurus Besar Vitagen, Poh Eng Lip berkata, pihaknya berbesar hati menyokong badan pakar profesional seperti DHM bagi memperkasa orang awam ke arah kesihatan penghadaman lebih baik. Kempen ini akan menyaksikan usaha bersepadu untuk menyampaikan mesej berkenaan mengawasi usus, pengesanan awal kanser kolorektal serta kelebihan probiotik. Di samping itu, Vitagen juga akan menaja dan mengagihkan kit ujian darah tinja kepada orang awam bagi langkah pengesanan awal.

